Alhamdulillah, sedar tak sedar dah seminggu umat Islam di seluruh dunia berpuasa. Tinggal lagi 3 minggu lagi untuk kita semua menjalani ibadah berpuasa da mengumpul semua pahala yang ditawarkan pada bulan Ramadan ni sebelum menjelangnya Syawal. Puasa tue puasa jugak tapi jangan dilupakan tuntutan zakat fitrah yang perlu ditunaikan pada bulan Ramadan ini.
Zakat Fitrah ialah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Zakat fitrah adalah sebagai penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan keji dan buruk juga untuk dijadikan sumber keperluan orang asnaf ketika 1 Syawal(siang & malam).
Kadar fitrah di negeri Selangor pada tahun ini adalah sebanyak RM 7 seorang. Kebiasaan kadar ini berdasarkan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri dan ianya berubah dari tahun ke tahun. Secara dasarnya, nilai kadar fitrah ini dikira adalah sebanyak satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya.
Syarat wajib Zakat:
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
- Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
- Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
- Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah:
Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:
- Waktu Wajib - Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
- Waktu Paling Afdal - Sebelum sembahyang Hari Raya Aidilfitri
- Waktu Sunat - Sepanjang bulan Ramadhan
- Waktu Makruh - Selepas sembahyang Hari Raya Aidilfitri sehingga terbenam matahari pada satu Syawal
- Waktu Haram - Selepas terbenam matahari satu Syawal
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment